Wednesday, February 7, 2007
sikap-sikap kita
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin. Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha perkasa lagi maha bijaksana. Al-Anfal -61 hingga 63.
Alangkah indahnya tarbiyah yang Allah sampaikan pada manusia melalui firman diatas. Sesungguhnya setiap kebaikan yang dilakukan oleh seorang hamba Allah itu perlulah dibalas dengan kebaikan malah lebih dari kebaikan yang telah diberikan. Namun, bila seseorang hamba Allah itu melakukan sesuatu kejahatan, tidak pula Allah mendidik kita dengan membalas kejahatan tersebut, cukuplah kita menyerah urusan itu kepada Allah, kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.
Jika dilihat dalam konteks kita sebagai sebuah persatuan pelajar yang membawa misi menyebar luas keindahan islam itu sendiri, perlu mengambil berat kedudukan hati kita sebagai sahabat kepada sahabat yang lain. Apa yang dimaksudkan kedudukan hati sebagai sahabat kepada sahabat yang lain? Adakah sekadar cukup kita memenuhi keperluan asas sahabat-sahabat kita? Bagaimana pula kedudukan sangkaan-sangkaan hati kita kepada sahabat-sahabat yang ada disekeliling kita?
Mendidik hati untuk sentiasa bersangka baik dan berlapang dada adalah satu usaha yang sangat tinggi tuntutannya dalam menjalankan gerak kerja yang berunsurkan perkumpulan atau jemaah. Ini kerana, gerak kerja sebegini melibatkan ramai individu yang mempunyai pelbagai cirri dan keunikan tersendiri. Kepelbagaian cirri inilah menuntut kita untuk membina 3 kesatuan utama, iaitu kesatuan hati, kesatuan fikiran dan kesatuan amal. Maka kesatuan yang paling utama adalah kesatuan hati, barulah wujudnya kesatuan fikiran dan kesatuan amal.
Rujuk kembali ayat ke 63 surah diatas, kekayaan atau dunia seisinya tidak mampu mempersatukan hati kita semua, biarpun kita memiliki segalanya, Allah jualah yang mempersatukan hati kita semua dalam rahmat dan kasih sayangNYA.
Sentiasalah kita memanjatkan doa dan munajat kepadaNya, agar disatukan hati kita dalam keimanan dan ketakwaan kepadaNya, juga dijauhkan dari segala penyakit-penyakit hati yang mengundang perselisihan yang seterusnya membawa kepada perpecahan. Andai berlaku jua perselisihan, kembalilah diri kita kepada fitrah diri yang amat memerlukan Allah dalam setiap apa jua keadaan, kerana kita sendiri hanya hamba yang wajib tunduk dan patuh pada Pemilik seluruh alam. Wallahua’alam.
Suffiyah solehah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment