Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang..
Assalamualaikum warahmatullah..
Erti sebuah perkahwinan
Melangsungkan perkahwinan juga diistilahkan ”mendirikan masjid” merupakan lambang penyatuan hati, lambang kasih sayang, lambang ketenangan. Semua orang rasa selamat ketika menjejakkan kaki ke masjid ada semangat sokong-menyokong, sama-sama sepakat meluruskan saf, patuh kepada perintah ketua sebelum mengadap Illahi apabila dipanggil tepat pada waktunya, 5 kali sehari. Semua seni peradaban dalam menjaga ketertiban dalam masjid turut terhimpun sama dalam sebuah ikatan perkahwinan.
Namun, perkahwinan bagi orang beriman adalah kerana mahu merebut ketenangan dalam beribadah. Dia mahu ibadahnya lebih khusyuk kerana kunci utama khusyuk ialah apabila setiap lelaki dan wanita berjaya mengawal pandangan mata, juga pandangan hati dan nafsu dari memandang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Inilah harga kemanisan iman yang dicari oleh lelaki dan wanita yang beriman yang mahu mengejar mardhatiLLah.
Bagi diriku, selaku isteri, mendirikan rumah tangga benar-benar mencabar harga keimanan untuk belajar patuh, merai, dan memuliakan suami sebagai orang baru dalam hidup ku. 4 tahun tanpa bersua muka, mendengar suara, dan email menjadi perantara membuatkan air mata ni sukar ditahan lagi tatkala pertama kali suami memberi salam, selepas diakad nikahkan.. itulah pertama kali, mendengar suara, dan melihat wajahnya, setelah aku selamat menjadi isterinya.
Suami yang ku kenali ini merupakan pensyarah yang menjadi penasihat sekretariat kerohanian di kolej ku ketika diploma dulu. Aku mengenalinya sekadar seorang pelajar dan pensyarah. Tidak pernah terfikir untuk menaruh hati padanya, apatah lagi menjadi isterinya. Rasa rendah diri dan tidak layak, membuatkan aku tidak pernah terfikir hal-hal sebegini. Namun, siapa tahu pengaturan Allah dalam kehidupan manusia. Soal jodoh pertemuan, rezeki, ajal dan maut itu berada ditanganNya. Aku bersyukur pada Allah atas pilihanNya.
Aku terharu apabila suami sendiri meminta izin dengan ibu dan ayah untuk berkawan denganku. Katanya, biarlah kami berkawan ketika itu dibawah pengetahuan dan keizinan ibu dan ayah. Juga izin dari ibu mertuaku. Ibu dan ayah ku yang pertama kali mendengar suaranya, aku menjadi orang kedua. Hmm, mungkin kerana akhlaknya itu menarik perhatian ibu dan ayah untuk menerimanya.
Pernah suatu ketika aku meminta no hp nya, bagi memudahkan untuk menghubunginya seandainya ada perkara penting yang perlu disampaikan, dan tidak melalui email, dia memberikan aku no hp yang dia tidak aktifkan. Aku pasti, dia sudah mengagak yang aku akan selalu menghantar tazkirah padanya. Bimbang dan takut pada perhubungan yang tidak terjaga, sekalipun saling ingat mengingatkan dalam perkara agama. Kadang-kadang malu juga pada diri sendiri..hehehe.
Walaupun kadang-kadang agak tertekan dengan perhubungan sekadar email ni, aku bersyukur kerana dia seorang yang tegas dalam menjaga perhubungan. Tidak dibiarkan diriku berada dalam khayalan perasaan yang bukan-bukan. Alhamdulillah..
Perasaan hormat yang melebihi perasaan sayang terhadap dirinya ketika itu, mengajar aku erti untuk menyayangi perhubungan ini semata-mata kerana keredhaanNya.
Hari pertunangan ku...
Akhir bulan Februari 2007, suami melamarku sekalipun ketika itu bukan lah waktu dalam perancangan kami untuk mengikat perhubungan ini. Perancangan kami mungkin akhir 2007 ni,setelah suami tamat pembelajarannya di Edinburgh, UK. Namun, kerana suami bercadang untuk menyambung lagi 2 tahun pHd nya, dia minta untuk kami awalkan perkahwinan kami. Katanya, untuk memudahkan perhubungan selepas itu..
Akhirnya 4 / 3 / 2007, aku selamat ditunangkan tanpa dia berada disisi. Hanya ibu dan adik beradik serta paman2 nya yang menghadiri majlis itu. Suami masih di UK, kerana tidak dapat pulang ketika itu. Perasaan ketika itu, sangat mendebarkan. Bagaimanakah penerimaan mertua ku..aku hanya bertawakal kepadaNYA. Majlis berjalan lancar dan tenang.. sewaktu ibu mertuaku menyarung cincin, dia mengucapkan terima kasih padaku kerana sudi menerima anaknya, dan memelukku. Hmm..terharu.. aku bertemu dengan ibunya dahulu, sebelum aku melihat wajahnya dalam 4 tahun ini.
3 hari selepas itu, suami mengirimi email, mengucapkan syukur atas segala yang telah Allah permudahkan. Namun nasihatnya, perjalanan masih panjang, dugaan dan halangan sentiasa akan hadir bagi menguji keimanan dan kecintaan kepadaNya. Aku pasrah padaNya, Dia lah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku dan suami.
Sepanjang pertunangan, kami masih berhubung menggunakan email. Tidak pernah dia berbincang dengan ku melalui talian telefon tentang perancangan hari perkahwinan kami. Dia lebih ”sudi” menelefon ibu dan ayah untuk membincangkan perkara ini. Aku pula, marah tu memang ada, kecik hati pun ada, tapi Alhamdulillah, bila difikir2kan hikmahNya, aku sangat bersyukur, Allah menjagaku dari fitnah. Ye, sepatutnya aku sentiasa wajib bersyukur padaNya. Walaupun sukar dan terseksa untuk menghadapinya, tapi semuanya akan berakhir dengan kemanisan yang membuatkan aku sentiasa tersenyum..... J
Eh..dah pukul 7.30pg, nak ke kulliah pulak kul 8 ni.. hehe.. sambung lain kali...
Puan salbiha.
Wednesday, September 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment