Friday, January 19, 2007

Kecelaruan Identiti Dikalangan Pelajar


Apa yang dapat kita fahami dari perkataan kecelaruan? Identiti? Mengikut Kamus Dewan Bahasa edisi keempat (2005) perkataan kecelaruan berasal dari kata akar celaru; bercelaru yakni bermaksud kekaburan, tidak tentu arah, tidak beraturan (berketentuan, keruan dan lain-lain) juga dimaksudkan sebagai kacau bilau. Manakala kecelaruan dimaksudkan sebagai perihal bercelaru ( bukan keadaan, fikiran dan lain-lain). Mankala mengikut kamus Fajar terbitan Fajar Bakti, kecelaruan dimaksudkan suatu hal yang tidak beres.
Identiti pula dimaksudkan sebagai sifat-sifat (ciri dan sebagainya) yang terdapat pada seseorang atau sesuatu yang sebagai suatu keseluruhan memperkenalkannya @ mengasingkannya daripada yang lain.(Kamus Dewan Bahasa edisi keempat 2005).
Maka dapat disimpulkan disini, kecelaruan identiti adalah kekaburan atau tidak kepastian tentang ciri-ciri atau identiti yang perlu ada pada diri. Ciri-ciri atau sifat diri dilihat tidak sinonim dengan apa yang patut diterjemahkan. Keliru dengan karakter, penampilan, kendiri dan sikap diri.
Kecelaruan identiti yang berlaku dikalangan pelajar sekolah atau remaja semakin membimbangkan. Pelajar dilihat sudah melupai tanggungjawab asal mereka sebagai pelajar, anak atau mungkin lebih spesifik, tanggungjawab mereka membangunkan diri mereka sebagai manusia yang berguna dan berupaya menjadi generasi yang dilahirkan sebagai cemerlang, gemilang dan terbilang.
Banyak isu atau masalah yang menyumbang kepada kecelaruan identiti dikalangan pelajar ini, namun saya hanya mengariskan 4 masalah utama yang sering menjadi perkara fokus dalam menangani permasalahan ini. 4 masalah utama yang menjadi perkara pokok adalah “anti sosial , isu kelucahan, hedonistik dan hilang identiti sebagai pelajar.
Anti-sosial

Anti-sosial merupakan satu permasalahan yang biasa berlaku dikalangan pelajar. Anti-sosial ini diletakkan dibawah sub topik pemilihan identiti negatif dikalangan pelajar. Pemilihan identiti negatif ini berasaskan dari berlakunya kekaburan identiti atau kegagalan mencapai identiti yang stabil. Rahil Mahyuddin,Habibah Elias (2003).
Perlakuan yang dikenalpasti sebagai antisosial adalah segala pelakuan yang melanggar peraturan sekolah.Anti sosial ini seringkali disebabkan oleh pelbagai pihak. Dan pelajar bukanlah punca utama pembawa kepada permasalahan antisosial. Antara punca yang membawa atau menyumbang kepada permasalahan identiti ini adalah, perhubungan pelajar dengan ibubapa, stail keibubapaan, perbezaan kelas sosial dan keadaan keluarga. Kesan persahabatan dan pengaruh sekolah juga dianggap sebagai penyumbang kedua kepada permasalahan anti-sosial ini. Rahil Mahyuddin,Habibah Elias (2003)
Jika perlakuan anti-sosial ini tidak diambil berat atau tidak dicari penawarnya, berkemungkinan, permasalahan lebih besar akan berlaku seperti delikuen juvana. Antara perlakuan yang menjurus kepada delikuen juvana adalah mencuri, merompak, minum minuman keras, bergaduh antara gang, lumba motor/ kereta, penyalahgunaan dadah dan pelbagai lagi kes yang kadangkala sehingga melibatkan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia.

Kelucahan

Lucah dimaksudkan sebagai hina, keji, sangat rendah, tidak senonoh dan tidak sopan (Kamus Dewan Bahasa edisi keempat 2005). Manakala kelucahan dimaksudkan sebagai kecabulan, kehinaan dan kekejian. Fenomena lucah ini sangat membimbangkan para ibubapa dan masyarakat sekeliling, bilamana isu ini berlarutan sehingga tercetusnya masalah pencabulan, rogol dan sebagainya. Kebelakangan ini, laporan akhbar atau televisyen yang menyatakan pelajar dirogol atau menjadi perogol yang mana rata-rata mereka ini berumur dalam lingkungan umur 10 hingga 18 tahun yang masih dibangku sekolah. Tidak hairanlah jika mereka ini berani membawa bahan lucah ke sekolah untuk dikongsi bersama rakan lain malah mereka berani melakukan perbuatan yang tak senonoh dan terkutuk itu di dalam tandas atau mana-mana tempat di kawasan sekolah. Hal ini berlaku tidak lain disebabkan oleh faktor pengaruh bahan lucah yang murah dan mudah diperolehi . Berdasarkan satu keratan akhbar yang saya rujuki yang mana tajuknya , ‘ Ibu bapa dan anak kongsi bahan lucah’(Berita Harian: 22 Oktober 2001). Laporan di berdasarkan kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) ke atas 381 murid Tahun 6 dari mukim Ulu Tiram, Kulai dan Kota Tinggi mendapati perbuatan tidak bermoral ibu bapa antara faktor yang mendedahkan kanak-kanak terbabit kepada bahan dan unsur lucah.Walaupun penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak kerajaan VCD lucah masih lagi yang boleh dibeli di pasaran terbuka seperti pasar malam dengan hanya RM5 sahaja setiap satu. Mereka sering menonton ‘aksi’ yang boleh menaikkan nafsu seterusnya ia akan mendorong mereka ini untuk melakukan perbuatan merogol dan membunuh. Oleh sebab kebanyakan mereka dalam lingkungan umur persekolahan, pihak sekolah, ibu bapa, polis, dan masyarakat tidak boleh memandang masalah ini dengan ringan, malah sesuatu yang berkesan perlu dilakukan segera untuk membendung gejala yang amat membimbangkan ini. Pihak penguatkuasa undang-undang juga bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan yang kurang berkesan. Pengusaha tempat hiburan yang hanya mementingkan keuntungan dan tidak mempedulikan soal moral dan etika juga bertanggungjawab terhadap gejala yang membimbangkan tersebut. . Oleh yang demikian, penguatkuasaan perlu ditingkatkan dan diketatkan, dan pengusaha pula kembali memikirkan tindakan mereka demi masa depan generasi muda. Manakala budaya couple memberi pelajar tersebut kesempatan untuk mengaplikasi ”ilmu lucah” yang mereka pelajari terhadap pasangan mereka. Ini semua menyumbang kepada keruntuhan akhlak pelajar yang dianggap pewaris negara.

Hedonistik

Hedonistik atau hedonisme merupakan satu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan @ kesenangan hidup. Dewan Bahasa Dan Pustaka (2005). Hedonistik juga dimaksudkan sebagai kelakuan atau perilaku yang didasarkan kepada kepercayaan bahawa keseronokan seharusnya menjadi tujuan utama dalam hidup (A.S Hornby 2000). Kenapa dikaitkan pelajar dengan hedonisme?. Pelajar merupakan golongan remaja yang mempunyai nilai diri yang ingin bebas, tidak mahu dikongkong, serta mempunyai pandangan-pandangan mereka sendiri tentang kehidupan. Contohnya, walupun remaja itu gemar muzik tetapi tidak akan mengikuti kursus muzik hanya kerana idea kursus muzik itu datang daripada ibubapanya dan bukan daripada dirinya sendiri. Tambahan lagi apabila remaja sedar itu sedar bahawa ibubapa bukanlah sempurna seperti yang dianggapnya semasa kanak-kanak, maka dia mungkin tidak mahu langsung mendengar kata-kata nasihat ibubapa (Jesselson,1980). Apabila tidak berjaya dalam usaha menyelesai masalah mengikut cara yang dinasihatkan oleh ibubapa, remaja akan tidak lagi mendengar kata tentang apa jua perkara termasuk masalah sekolah dan perhubungan sosial.
Justeru, budaya hedonistik atau budaya mencari keseronokan semata-mata ini kian menular dalam jiwa pelajar atau remaja bagi memenuhi tuntutan darah muda mereka. Seperti yang kita tahu, kecenderungan seseorang untuk memilih sesuatu adalah untuk memuaskan nafsu dan jarang sekali kecenderungan memilih itu berdasarkan pilihan rasional, terutama dikalangan golongan muda sekarang.
Hedonistik dianggap sebagai salah satu penyumbang kepada kecelaruan identiti dikalangan pelajar. Mereka keliru untuk membuat pilihan tepat bagi kebaikan diri mereka. Mereka hanya tahu bagaimana untuk hidup dalam keseronokan,tanpa memikirkan implikasi yang akan mereka hadapi dihari muka nanti.

Hilang Identiti Sebagai Pelajar
Apa yang dimaksudkan dengan hilang identiti sebagai pelajar? Dan apa pula identiti seorang pelajar? Identiti pelajar merupakan ciri-ciri yang perlu ada pada diri seorang pelajar. Mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, salah satu matlamatnya adalah merupakan kearah pembentukan insan seimbang sepadu dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani. Dari huraian aksiologi mengenai matlamat ini, falsafah pendidikan kebangsaan ini bermatlamat ingin melahirkan rakyat malaysia yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab- menekankan ciri peribadi mulia dalam diri individu (Habsah Ismail 2004)
Identiti inilah yang telah lenyap dalam diri murid secara sedikit demi sedikit. Murid kini lebih dikenali sebagai pembuli, gengster, kaki pukul, kaki lawan, kaki rokok dan paling dirisaukan pelajar menjadi ejen dadah dan pil estacy. Hasilnya, wujudlah kekeliruan dalam mengembangkan bakat atau membangunkan fungsi pelajar disekolah seterusnya gagal melahirkan generasi warisan yang ampuh dalam mendepani permasalahan globalisasi.
Suffiyah solehah
Pendidikan Bimbingan Dan Kaunseling
UPM

2 comments:

ABU ARFAN said...

Terima kasih menulis beberapa artikel kaunseling. Saya sekarang cuba memahami bimbingan dan kaunseling untuk sambung belajar.

JoelleEsme said...

Terima kasih atas maklumat berkaitan kecelaruan identiti, ini boleh membantu saya dalam memahami masalah identiti pelajar pada masa kini.