Thursday, January 11, 2007

REMAJA DAN HEDONISTIK

Hedonistik dimaksudkan sebagai kelakuan atau perilaku yang didasarkan kepada kepercayaan bahawa keseronokan seharusnya menjadi tujuan utama dalam hidup (A.S Hornby 2000). Remaja tidak dapat dipisahkan dengan sikap ingin bebas, tidak mahu dikongkong dan yang paling parah lagi bila mana pelajar atau remaja yang terdiri dari mereka yang mempunyai kekuatan intelektual terdedah kepada satu budaya baru, iaitu budaya hedonistik
Dalam satu kajian yang dibuat, sesetengah remaja menjadikan budaya hedonisme ini sebagai budaya hidup mereka. Mereka menganggap tujuan kehidupan mereka adalah untuk mencapai keseronokan semata-mata. Keseronokan yang melampau dengan mengadai maruah diri, keluarga dan agama memberi impak yang buruk pada diri remaja tersebut, malah negara juga menghadapi masalah sosial yang meruncing hasil dari ketagihan keseronokan yang remaja inginkan.
Remaja lupa kepada tangungjawab mereka sebagai perwaris kepimpinan negara. Lebih ramai yang impikan keseronokan, hiburan melampau sehingga akhirnya dilalaikan dan diserang dengan budaya hedonisme yang melahirkan golongan seperti “black metal, skin head, punk dan sebagainya.
Salah satu petikan yang dapat kita ambil iktibar yang diambil khas dari majalah Mastika “ kami tak buat salah apa pun, hiburan tu jiwa kami, kalau kami nak gembirakan hati kami dengan hiburan metal ke, rock ke...bukan hak korang nak pertikaikan”. Kata-kata ini diucapkan oleh seorang remaja yang tidak puas hati apabila pihak Mastika mendedahkan kegiatan buruk black metal.
Bila mana hiburan dan keseronokan semata-mata menjadi jiwa kepada remaja-remaja ini, bagaimanakah nanti bila tiba masanya remaja ini menjadi seorang pemimpin, tidak kiralah pemimpin dalam kerjaya, rumahtangga atau negara.
Sikap memandang enteng kepada masalah besar seperti ini boleh mengundang padah. Walaupun kadang-kadang ada yang menganggap bahawa tidak salah berhibur, namun isu yang dibawa disini adalah budaya berhibur yang keterlaluan (entertainment culture) dan budaya hedonisme (mencari keseronokan semata-semata). Budaya inilah yang merupakan antara faktor kejatuhan tamadun Greek dan ia juga boleh meruntuhkan tamadun melayu Islam. Saya ingin membawa satu kajian kes yang saya adaptasi dari kisah benar yang diceritakan kembali oleh seorang remaja yang pernah terlibat dengan permasalahan ini.
Eliz ( bukan nama sebenar) merupakan seorang pelajar IPTA di ibu negara merupakan pelajar cemerlang dalam pendidikannya. Eliz merupakan anak harapan keluarga, dimana kehidupannya dipenuhi dengan segala kelengkapan yang cukup bagi kesempurnaan dirinya sebagai seoarang pelajar. Pada tahun pertama pengajian, Eliz memberi sepenuh perhatian pada pelajarannya. Semester yang dilaluinya pasti memperolehi keputusan yang cemerlang. Masuk tahun kedua, Eliz mula mencari-cari ruang untuk memenuhi masa lapangnya, kerana disangkanya dengan keputusan yang cemerlang pada tahun petama akan mempengaruhi keputusan tahun keduanya. Eliz bertemu Joe (bukan nama sebenar) yang baru sahaja tamat pengajiannya, dan kini bekerja di sebuah syarikat jualan kereta. Eliz yang dulunya tidak pernah mengisi kehidupan malamnya dengan berpeleseran di kompleks beli belah atau pub, sudah berani berbuat demikian. Bila ditanya kenapa berlaku perubahan yang mendadak dalam dirinya, Eliz, berkata “ saya sudah lama tidak mengecapi kegembiraan sebegini, saya dapat hilangkan kebosanan dalam belajar dengan berhibur begini. Kami disini boleh melakukan apoa sahaja, janji hati kami seronok, jiwa kami santai.. yang lain kami tak kisah.”.. Sehinggalah pada satu tahap Eliz berani mengambil minuman keras setelah dicabar oleh teman lelakinya, Joe. Joe , teman lelaki Eliz juga sering mengambil kesempatan atas tubuh badan Eliz, katanya, “apa guna ada badan yang cantik, kalau tak dipertontonkan”. Joe juga pernah berkata, dia sunyi, kerana ibubapanya telah bercerai, dan kini dia keseorangan. Joe merupakan anak tunggal. Joe seronok bersama Eliz, dia mencari hiburan yang dapat menghilangkan kesunyian hidupnya. Namun hiburan yang dicari bukan dapat membawa kepada kebahagiaan malah membawa dirinya terjerumus kedalam lembah kemaksiatan bilamana Joe tidak mampu mengawal nafsunya dan menyebabkan Eliz mengandung hasil perbuatan sumbang mereka. Kini, Eliz hilang arah tuju apabila Joe tidak mahu bertanggungjawab terhadap perbuatannya. Kandungan Eliz semakin membesar. Akhirnya Eliz mengambil keputusan melahirkan bayi tersebut, kemudian meletakkan bayi tersebut di masjid disebuah kawasan perumahan. Eliz berharap ada insan yang akan memelihara anak haramnya itu. Namun perasaan bersalah menghantui kehidupan Eliz..
Inilah hasil dari tersalah mencari keseronokan. Menjadikan keseronokan sebagai tujuan hidup pasti akan membawa ke lembah kehinaan bila mana nafsu dan akal tidak dipandu dengan baik.
Budaya hedonisme ini semakin hari semakin bertambah mempengaruhi remaja. Rancangan realiti tv yang berkembang subur tidak lain hanyalah menjadi pembekal rasmi hiburan dan keseronokan jiwa tanpa batasan.
Kita tidak belajar dengan apa yang terjadi pada tahun 1967 yang mana orang Arab disibukkan dengan bola. Israel masuk ke tanah Arab menjajah sehingga Senai jatuh ke tangan Israel. Begitu juga dengan Palestin. Ini berlaku kerana dilalaikan dengan bola. Cukup dengan tayangan bola dan tidak perlu tunggu bom hendak diletupkan. Negara tergadai, bangsa dihina, agama runtuh. Perkara ini harus menjadi pengajaran kepada kita. Jika budaya ini tidak ditangani dengan serius oleh semua pihak, kita bimbang negara akan ketandusan kepimpinan yang mantap serta tidak hanyut dibawa arus hedonistik yang melampau ini.
NUR SALBIHA BINTI MOHD ALI HANAFIAH
BACH PENDIDIKAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING
TUGASAN BIMBINGAN KELOMPOK

No comments: